Saturday, 12 March 2011

bendera silat gayong

Bendera dan warna-warna silat gayong
Bendera Silat Gayong
Bendera Gayong dikibar dalam mana-mana majlis rasmi yang melibatkan Silat Seni Gayong. Ia melambangkan kedaulatan organisasi Silat Seni Gayong. Pemilihan warna pada lambang dan bendera Silat Seni Gayong membawa mesej dan falsafah tertentu. Ia memancarkan semangat perjuangan dan inspirasi ahli dan murid Silat Seni Gayong di Malaysia.

HITAM
Melambangkan bayang-bayang iaitu persamaan. Ia bermaksud semua manusia di sisi Allah S.W.T. adalah sama. Bagaikan sinaran cahaya berwarna-warni jika dipancarkan kepada objek hitam tetap hitam. Begitulah kedudukan semua ahli dalam Silat Seni Gayong. Pakaian yang disarung dalam latihan atau majlis rasmi juga berwarna hitam, perbezaannya Cuma pada bengkong atau sandang yang menandakan tahap kebolehan dan tanggungjawab atau amanah yang dipikul. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni Gayong mempunyai pelbagai rahsianya (Rahsia tersimpan di purbakala, Ilham menyusun zahir semula)

PUTIH
Bermaksud bersih dan suci. Ia menunjukkan Silat Seni Gayong bebas daripada unsur-unsur syirik dan khurafat. Putih juga melambangkan fitrah kejadian manusia yang memerlukan agama untuk mencorak dan membentuknya. Dalam konteks Silat Seni Gayong, agama Islam ialah ad-Din iaitu pedoman hidup.

KUNING
Melambangkan Tanah Melayu ialah negeri beraja dan berdaulat. Murid yang memasuki Silat Seni Gayong dimestikan berikrar taat setia kepada raja-raja Melayu dalam istiadat perlimau sintuk.

MERAH
Tanda keberanian dan kepahlawanan. Murid gayong hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Semangat kepahlawanan perlu untuk mempertahankan kedaulatan tanahair daripada penceroboh dan perbuatan durjana. Keberanian yang dimiliki hendaklah atas dasar kebenaran dan tuntutan agama.

maksud gayong

Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.

Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri: 
 
Gayong Jawi

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri

Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
 
Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam.
 
Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong. 

makna lambang silat gayong

Lambang dan Logo Silat Gayong
Lambang atau logo Silat Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu.

BULAN DAN BINTANG
Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.

BUMI
Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.

BEJANA AIR

Simbolik kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.

HARIMAU
Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.

NAGA
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga  merupakan simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.

KERIS BERSILANG
Simbolik kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.

PEDANG BERMATA DUA
Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.

HITAM CHULA VII
Melambangkan Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewenegkan.

Tuesday, 8 March 2011

lambang rasmi

Cetak

Lambang ini telah dicipta pada tahun 1976 oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dan telah digunakan secara rasmi sehingga kini. Setiap komponen/elemen lambang tersebut membawa maksud-maksudnya yang tersendiri:-
Bintang 21 - bererti kaedah pelajaran Silat Cekak yang mengandungi 21 buah matapelajaran untuk mempertahankan diri.

Segemal Padi - bererti silat ini lahir dari masyarakat petani yang resminya makin berisi makin tunduk. Oleh itu silat ini tidak sesuai bagi mereka yang berjiwa sombong, bongkak, takbur dan khianat.

Parang Lading - Parang Lading adalah merupakan senjata rasmi Silat Cekak yang juga merupakan senjata asli orang Melayu yang khas digunakan untuk mempertahankan diri.

Sebilah Keris - melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu serta negara Malaysia.

Tulisan Muhammad Ahmad - tulisan yang bertimbal balik ini membawa maksud penekanan terhadap asuhan rohani dan jasmani.

Warna - seperti juga komponen-komponen di atas, setiap warna yang digunakan juga mempunyai pengertiannya yang tersendiri:-

Kuning - melambangkan kedaulatan silat pusaka bangsa Melayu
Merah - melambangkan kesanggupan untuk mempertahankan diri dengan menggunakan sistem Silat Cekak jika diceroboh
Biru Tua - warna rasmi Silat Cekak melambangkan asuhan rohani dan jasmani
Putih - melambangkan suci dan bersih
Hijau - melambangkan keIslaman
 

maksud cekak

Mengapakah Silat Cekak ini dipanggil Silat Cekak? Mengapakah tidak diberi nama-nama yang lain?

Adakah nama Cekak diletakkan dengan tidak mempunyai apa-apa maksud?


Perkataan Lama. Perkataan Cekak adalah satu perkataan yang tua yang telah lahir sejak zaman masyarakat Melayu. Perkataan 'Cekak' digunakan setiap hari, ini menunjukkan perhubungan yang rapat antara masyarakat kita dengan perkataan 'Cekak' itu tetapi mereka masih jauh dari pengertian Cekak apabila perkataan itu digunakan sebagai nama sejenis seni silat iaitu Seni Silat Cekak.

Oleh kerana perkataan Cekak mempunyai pertalian yang erat dengan tata bahasa Melayu, untuk mengetahui mengapakah Silat Cekak itu dinamakan 'Silat Cekak', kita mestilah mengkaji dari segi istilah dan penggunaan perkataan 'Cekak' itu sendiri.

Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan:

"Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'."

Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuh-musuhnya.

Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya:

"Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga".

Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta. Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh.

Secekak. Pergi pula kita kepada perkataan secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ianya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.

Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri.

Kesimpulan. Dari hujjah-hujjah di atas dapatlah kita membuat satu tumpuan kesimpulan, mengapa Silat Cekak dinamakan Silat Cekak itu.

Silat Cekak adalah sesuai dinamakan kepada amalan Seni Silat ini kerana Seni Silat ini adalah satu-satunya jenis silat yang benar-benar asli hak pusaka Melayu yang mempunyai pegangan untuk bertanggungjawab di dalam menjaga diri pengamal-pengamalnya.

Untuk penjelasan, penerangan di atas cuma menitik beratkan Silat Cekak dengan pengunaan perkataan 'Cekak'. Sebenarnya dari segi mata pelajaran dan kaedah yang diajar memanglah sesuai dan tepat mengapa Silat Cekak dinamakan Silat Cekak. Hal ini sudah tentu diketahui oleh penuntut-penuntut silat yang telah tamat pelajarannya.
 

asal usul silat cekak

Silat Cekak berasal dari Kedah. Pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II.

Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau, Taiping sebagai 'pemegang amanah'.

Panglima Tok Rashid meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang ketika itu berumur 20 tahun:

"Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali".

Silat ini telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said.

Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said. Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964.

Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan diasaskan oleh YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad Pada tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah menyaksikan logo baru baginya yang mana ianya juga telah diasaskan oleh Y.M. Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.

Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun.

Tanggungjawab ini diteruskan pula oleh Y.M. Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama merangkap Presiden PSSCM pada 21 September, 1986. Majlis pengijazahan penuntut baru pertama kali dilakukan oleh beliau di Universiti Pertanian Malaysia pada 13 Oktober, 1986. Y.M. Haji Ishak Itam terus menerajui PSSCM sehingga beliau menyerahkan pucuk pimpinan Silat Cekak kepada Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah pada 3 Jun 2009 dan secara beradat pada 23 Jun 2009.
Seterusnya hingga sekarang cawangan-cawangan dan kelas latihan PSSCM telah berkembang di seluruh Semenanjung Malaysia dengan pembukaan kelas-kelas latihan di cawangan-cawangan negeri dan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Semenanjung Malaysia.

SENJATA RASMI

Parang lading memang tidak asing lagi di daerah-daerah utara Tanah Melayu, terutama di Kedah. Di sana hari ini lading digunakan sehari-harian. Kesebatian parang lading dengan negeri Kedah memang tidak dapat dinafikan lagi, tetapi di negeri lain jarang kedapatan. Hal inilah menyebabkan kita yakin bahawa silat Cekak ini berasal dari Kedah.

Kita berkeyakinan demikian kerana sebenarnya parang lading adalah senjata rasmi silat Cekak sejak zaman dahulu lagi. Parang lading adalah senjata yang tunggal di dalam silat Cekak. Didalam Cekak, tidak terdapat penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa senjata lain kerana kita yakin parang lading sudah cukup.

Disamping itu parang lading sajalah yang bersesuaian dengan kaedah-kaedah serta cara penangkisan yang diamalkan oleh silat Cekak yang dimana sembilan puluh peratus dari mata pelajarannya menitik beratkan cara-cara mempertahankan diri

Pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia

Pelajaran ini terbahagi kepada 8 bahagian:

a. Mempunyai kaedah A, B, C dan D. 4 pergerakan di tangan kiri dan 4 pergerakan di tangan kanan (kaki tidak bergerak), berdiri lurus seperti berdiri waktu sembahyang (tidak berdiri kuda-kuda).

b. Buah-buah dasar (basic) sambungan daripada kaedah A, B, C dan D; dilatih bergerak sekali tangan dan kaki. c. Buah-buah pecahan atau buah-buah anak sambungan daripada buahbuah dasar pelajaran yang kedua. Dengan buah-buah pecahan inilah untuk mempertahankan keselamatan daripada segala rupa serangan.

c. Buah-buah dasar dan pecahan-pecahan ini adalah buah-buah segala ilmu keputusan seluruh silat Melayu di dalam alam Melayu seperti Keputusan Sendeng, Keputusan Gayung Fatani, Keputusan Silat Harimau dan lain-lain seperti yang disebutkan pada bahagian awal tadi.

Nama-nama buah Seni Silat Cekak antara lain ialah:
  • Buah Pertama
  • Buah Keputusan Gayung Fatani
  • Buah Keputusan Sendeng Atas
  • Buah Kilas Belakang
  • Buah Kilas Hadapan
  • Buah Kidong Kiri
  • Buah Kuntau Jatuh
  • Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
  • Buah Kuntau Kanan Gantung
  • Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)
  • Buah Ali Patah Atas
  • Buah Ali Patah Sudah
  • Buah Selendang
  • Buah Gari & Gari Gunting
  • Buah Paras
  • Buah Keputusan Pasung Kemanga
  • Buah Keputusan Terlak
  • Buah Keputusan Lintau
  • Buah Hempok
  • Buah Luncur
  • Buah Siku Potong
d. Pengajaran cara memotong atau menyekat kesemua 21 buah yang tersebut itu. Andainya Seni Silat Cekak menyerang dan musuh menggunakan salah satu buah yang tersebut, buah itu tak terdaya mernakan atau menangkap Seni Silat Cekak; bahkan Seni Silat Cekak dapat memakan balik dengan salah satu buah-buah yang tersebut. Di sinilah tegaknya falsafah Seni Silat Cekak yang berbunyi:

PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI PAKAI

e. Ini adalah pelajaran tamat; bererti sesama ahli Seni Silat Cekak tak terdaya melawan lagi kerana sama-sama faham pelajaran silat.

f. Pengajaran taktik menyerang lawan supaya membunuh buah-buahnya sendiri dan juga buah silat yang lain. Yang anehnya dalam Seni Silat Cekak sambil menyerang sambil menangkap. (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan yang dibuat tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang ia dapat menangkap.

g. Pengajaran menangkis segala pukulan tongkat dengan tangan kosong; tidak menggunakan dua tongkat seperti yang terdapat dalam silat-silat lain yang bercorak kesukanan. Begitu juga menangkis segala tikaman dengan tangan kosong juga; tidak mengguna dua pisau.

h. Pengajaran mengguna Parang Lading buah menunggu segala rupa serangan yang menggunakan senjata pendek. Penyerangan terhadap musuh tidak dilakukan kerana Seni Silat Cekak percaya bahawa penyerangan itu lebih merbahaya kepada dirinya.

PANTANG LARANG

Berikut adalah pantang-larang yang terdapat didalam Silat Cekak.
  1. Tidak boleh derhaka kepada guru
  2. Tidak boleh derhaka kepada ibu
  3. Tidak boleh derhaka kepada bapa
  4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli
  5. Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli